Wednesday, 17 November 2010

Bendera Brunei Darussalam Berkibar Di Perkampungan Atlet

Twitter Facebook More

Guangzhou, Republik Rakyat China (11 November 2010) - Bendera Negara Brunei Darussalam hari ini berkibar di Perkampungan Atlet Bandar Sukan Asia di sini sempena Upacara Menaikan Bendera Negara-negara Kontinjen yang menyertai temasya Sukan Asia Edisi Ke-16.
Berangkat di upacara tersebut Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

Juga hadir Chef de Mission Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani berserta para atlet negara yang menyertai sukan tersebut.

Upacara Menaikkan Bendera pagi ini didahului dengan menaikkan bendera Majlis Olimpik Asia dan diikuti oleh bendera Negara Brunei Darussalam.

Negara-negara lain yang menyertai upacara tersebut ialah Malaysia dan diikuti Republik Rakyat Lao.

Terdahulu ketibaan kontinjen negara dialu-alukan oleh Dato Bandar Perkampungan Atlet, Kong Shau Qiong.

Di upacara tersebut, DYTM juga telah bertukar-tukar cenderamata bersama Dato Bandar Perkampungan Atlet tersebut sebelum diikuti dengan Majlis Bergambar Ramai.

Pada kesempatan itu DYTM juga berkenan berangkat santap tengah hari bersama atlet-atlet kontinjen negara yang berlangsung di Dewan Makan Perkampungan Atlet.

Temasya sukan empat tahun sekali ini merupakan temasya sukan yang kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik Musim Panas dan pada kali ini dijangka akan berlangsung dari 12 hingga 27 November depan.

Penyertaan negara kali ini merupakan kali ke-6 sejak penyertaan tahun 1990 di Beijing, Republik Rakyat China, 1994 di Hiroshima, Jepun, 1998 di Bangkok, Thailand, 2002 di Busan, Korea, 2006 di Qatar dan kemudian sekali lagi tahun ini di Guangzhou, di Republik Rakyat China.

Sepanjang enam penyertaan itu, negara hanya memperolehi pingat gangsa gangsa di Hiroshima Jepun melalui acara Karate-do dan sebutir lagi juga pingat gangsa acara Sepak Takraw antara regu di Bangkok, Thailand. -- hak milik Pelita Brunei


(Laporan : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman dari Guangzhou, Republik Rakyat China)

0 comments:

Post a Comment