Bandar Seri Begawan (11 November 2010) - Pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) memfokuskan kepada tiga perkara penting ialah perlunya komunikasi yang profesional, bertanggungjawab dan efisien; pendidikan berkualiti serta pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.
Demikian dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sesi Dialog Bersama Pemimpin-pemimpin Sekolah tahun 2010, di Pusat Tingkatan Enam, Katok.
Yang Berhormat menjelaskan, SPN21 menetapkan bahawa Kementerian Pendidikan komited dalam menyediakan sistem pendidikan yang dapat mempersiapkan generasi muda untuk berperanan di masa hadapan sebagai rakyat yang berkebolehan.
Sistem itu menurutnya, mempersiapkan generasi muda negara ini agar menjadi rakyat yang kreatif dan cergas fikiran yang akan mempertahankan nilai-nilai sosial yang wujud dalam falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Pada waktu yang sama ujarnya, para generasi muda itu diharap akan dapat mengamalkan nilai-nilai mulia dalam mempertahan imej dan identiti yang benar dan positif selain dapat hidup bersaing dalam era globalisasi iaitu rakyat Brunei yang hidup dalam negara ini tapi mempunyai visi global.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan para pemimpin sekolah sudahpun mengalami dan menyaksikan sendiri pelaksanaan sistem tersebut sejak ianya mula dilaksanakan dalam 2009.
Dalam hubungan inilah, tambahnya, ia memerlukan kepada beberapa perubahan dan perubahan yang besar itu ialah dari segi 'capacity building'.
Yang Berhormat kemudian berharap dengan penuh komitmen negara akan melihat transformasi atau perubahan dalam jangka waktu yang panjang tapi dalam kuasa pelaksanaan ini para pemimpin sekolah perlu untuk meneliti dan terus menilai di mana yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan.
Menyentuh mengenai sesi dialog tersebut Yang Berhormat berkata sesi seumpamanya merupakan satu 'platform' yang penting dan mustahak untuk memberikan peluang bagi Yang Berhormat mengongsikan perkara-perkara yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim)
Wednesday, 17 November 2010
SPN 21 Mempersiapkan Generasi Muda Sebagai Rakyat Yang Berkebolehan
Posted by Neo Minda on 21:20
0 comments:
Post a Comment