Bandar Seri Begawan (12 November 2010) - Ke arah menyemarakkan sambutan 25 tahun (Jubli Perak) penubuhan Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Bahagian Kajian dan Penerbitan melalui Unit Penerbitan, Pembahagian dan Pemasaran telah mengadakan dua bengkel penulisan seni khat jawi iaitu Bengkel Tahsinul Khat dan Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan.
Bengkel Tahsinul Khat diadakan bermula dari 1 hingga 11 November 2010 bertempat di Bilik VIP, PDI disertai oleh seramai 30 peserta terdiri daripada jurutulis-jurutulis jawi tempatan, guru-guru yang mengajar tulisan jawi dan orang perseorangan.
Manakala Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan bermula pada 1 hingga 13 November 2010 bertempat di Bilik Kuliah, PDI disertai oleh seramai 20 peserta yang pernah mengikuti bengkel peringkat asas anjuran PDI sebelumnya.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Tahsinul Khat dan Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan Tahun 1431/2010 telah diadakan petang tadi bertempat di Dewan Persidangan, PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat, Panel Redaksi Tafsir Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Md. Jali bin Abd. Latif.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Haji Badaruddin bin Haji Besar.
Pengerusi Majlis, Pemangku Penolong Pengarah, PDI, Dayang Hajah Siti Azizah binti Haji Musa dalam ucapannya berharap objektif bengkel akan tercapai dengan kesungguhan para peserta untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam penulisan seni khat jawi dan berharap kemahiran dalam bidang penulisan khat yang dimiliki akan dapat diaplikasikan sebagai produk perniagaan.
Penyampaian sijil dan hadiah kepada para peserta bengkel disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Fasilitator bengkel adalah jemputan pakar-pakar dari luar negeri iaitu Farid Abdul Rahim Al-Ali dan Jasim Mi'raj dari Kuwait selaku pembimbing Bengkel Tahsinul Khat.
Manakala Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan dibimbing oleh Abdul Baki bin Abu Bakar dari Malaysia.
Matlamat bengkel adalah untuk memelihara kesinambungan tulisan jawi yang merupakan warisan tamadun Islam di Negara Brunei Darussalam dan untuk mempromosi serta meluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran seni khat jawi kepada orang ramai di negara ini.
Objektif bengkel adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam penulisan seni khat jawi dan mengembangkan dan menyebarluaskan kemahiran dalam penulisan jawi. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)
Thursday, 18 November 2010
Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Semarakkan Sambutan Jubli Perak PDI
Posted by Neo Minda on 11:48
0 comments:
Post a Comment