Bandar Seri Begawan (12 November 2010) - Sebanyak 25 makalah akan dibentangkan pada Kongres Antarabangsa Bahasa dan Budaya yang akan diadakan pada 17 hingga 19 September 2011 sempena Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka Ke-50 Tahun (1961 - 2011) dan juga Jubli Emas Bahasa Melayu dalam Perlembagaan (1959 - 2009).
Selain itu tiga pembicara utama (keynote speaker) serta pemakalah dari rantau nusantara dan pembentang kertas kerja antarabangsa juga akan diundang pada kongres tersebut.
Kongres tersebut akan diadakan di Dewan Plenari Pusat, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini.
Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) pagi tadi mengadakan Sidang Akhbar dan penyerahan poster bagi kongres tersebut di Dewan Sarmayuda, di sini.
Pembahagian poster-poster tersebut bertujuan bagi membarigakan kongres antarabangsa itu kepada beberapa buah institusi kerajaan dan bukan kerajaan.
Menurut Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin, penubuhan DBP pada 16 September 1961 adalah sebagai institusi yang mengangkat martabat dan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui kegiatan-kegiatan kebahasaan, kesasteraan, penerbitan dan perpustakaan.
Menyentuh objektif kongres antarabangsa itu, Dayang Hajah Aminah menjelaskan, ia adalah bagi menilai semula kesan perubahan dan mengenal pasti segala bentuk tentangan serta cabaran yang dihadapi dalam memperkasa bahasa dan budaya.
Jelasnya, kongres itu juga akan membahaskan kedudukan dan peranan bahasa Melayu pada tahun-tahun mendatang selain meneliti dan menilai semula corak, bentuk, pendekatan, kaedah dan perlaksanaan melalui komponen pendidikan yang boleh menyumbang kepada pemerkasaan bahasa dan budaya.
Pada Sidang Media itu Dayang Hajah Aminah menjelaskan bahawa sebelum kongres antarabangsa itu nanti, beberapa kegiatan dan program akan dikendalikan oleh DBP bermula 15 November 2010.
Antaranya ialah Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar dan Juara Pelajar anjuran bersama DBP dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan didukung oleh Bank Standard Chartered.
Selain itu, DBP juga akan mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kreatif Bahana 2009 anjuran bersama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan DBP yang akan diadakan pada 20 November bertujuan untuk mengangkat pelajar di negara ini sebagai juara dalam pelbagai bidang.
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal dijangka akan hadir merasmikan Bengkel Pelestarian Budaya Melayu melalui penulisan puisi dan pementasan Seni pada 29 November nanti.
Sementara itu, Menteri KKBS, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah juga dijangka hadir pada Pertemuan Sasterawan Brunei Ke-5 (PSB) yang akan berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong bertemakan 'Muda Omar 'Ali Saifuddien Tokoh Sasterawan Islam Brunei'.
Semasa Sidang Akhbar itu, Pemangku Pengarah DBP juga meminta kerjasama semua media untuk sama-sama membarigakan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sebelum bermulanya kongres tersebut.
Turut hadir Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Awang Haji Zainal bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Sirat, ketua-ketua bahagian, pengetua-pengetua dan guru-guru sekolah. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Haniza Abdul Latif)
Thursday, 18 November 2010
Kongres Antarabangsa Bahasa Dan Budaya Diadakan 2011
Posted by Neo Minda on 11:49
0 comments:
Post a Comment