Tuesday, 16 November 2010

Berangkat Menghadiri Mesyuarat Dialog Ke-9 Kerjasama Asia

Twitter Facebook More

Tehran (09 November 2010) - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Jariah berangkat tiba Tehran Republik Islam Iran bagi menghadiri Mesyuarat Dialog Ke-9 Kerjasama Asia (9th Asia Cooperation Dialog Meeting, ACD, Tehran).


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, IKA telah dijunjung oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh dan isteri, Dayang Hamidah binti Haris dan pegawai-pegawai kanan pejabat Kedutaan Besar Brunei Darussalam di Tehran.

Juga berada di IKA bagi menjunjung keberangkatan tiba termasuklah Ketua Pengarah Jabatan Asia Pasifik Kementerian Luar Iran, Tuan Nematollah Izzadi dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Awang Haji Erywan.

ACD Ke-9 di Tehran akan berlangsung selama dua hari bermula 8 hingga 9 November ini di Summit Conference Centre dan akan dirasmikan oleh Presiden Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Ahmadenijad.

Mengikut sumber banyak agenda perbincangan akan menjadi perhatian bersama antaranya ialah hal tenaga, pertanian, kerjasama kewangan, pendidikan persekitaran, pelancongan dan keselamatan jalan raya selain itu ada 13 bidang lain juga akan menjadi perhatian bersama.

Negara Brunei Darussalam mula terlibat di dalam ACD sejak tahun 2002 lalu bersama 17 negara lain dan sekarang ACD telah dianggotai oleh 31 buah negara masing-masing dari rantau Asia Tengah, Asia Timur, Asia Selatan, Timur Tengah dan Asia Tenggara. -- hak milik Pelita Brunei


(Laporan : Abdullah Asgar dari Tehran, Republik Islam Iran)

0 comments:

Post a Comment