Friday, 12 November 2010

Berangkat Merasmikan Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Ke-9

Twitter Facebook More

Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Tungku (03 Nov 2010) - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat merasmikan Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Ke-9 berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini.


Berangkat sama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan YTM dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar dan Dekan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB), UBD, Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al Faatihah disusuli sembah alu-aluan dari Dekan Institut Sains Kesihatan PAPRSB, UBD, Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina yang antara lain menjelaskan bahawa institut tersebut berazam untuk menyediakan pendidikan terbaik bagi kesemua pelajarnya.

Ke arah itu, penubuhan Program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan Perbidanan di PAPRSB meliputi satu pendekatan baru, berdasarkan satu kurikulum meluas yang sangat khusus untuk menangani perisian kejururawatan yang dikehendaki.

Beliau menambah, program-program diberikan oleh pelbagai pakar akademik dan perubatan di fakulti tersebut di samping pakar-pakar lain di universiti itu bersama 'stakeholders' yang berkaitan, diharapkan dapat menyediakan para pelajar dengan pengalaman luas.

Sebagai tambahan katanya, pelajar-pelajar yang mengikuti program-program sarjana muda diperlukan untuk menjalani 'Discovery Year' dengan belajar atau bekerja dalam penempatan klinikal di luar negeri.

Pada majlis tersebut, Profesor Karen Helene Morin dari Universiti Wisconsin-Milwauke, Kolej Kejururawatan, United States of America juga menyampaikan ucaptama bertajuk Membangun Pemimpin-Pemimpin Jururawat (Developing Nurse Leaders).

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abd. Hamid.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM dijunjung menyaksikan pameran mengenai kejururawatan dan perbidanan di dewan berkenaan.

Beberapa orang penceramah undangan dari dalam dan luar negara diundang membentangkan kertas kerja masing-masing pada persidangan tiga hari itu.

Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Ke-9 itu antara lain bertujuan menyediakan satu forum yang mempertemukan pelbagai perspektif tentang pembangunan kepimpinan, cabaran-cabaran dan hala tuju yang memberi kesan kepada para jururawat dan keupayaan mereka menerajui model penjagaan, mengubah amalan atau merangka semula perkhidmatan bagi menghasilkan kesihatan berkualiti kepada para pesakit selain memajukan ikhtisas kejururawatan terutama di Negara Brunei Darussalam.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment