Friday, 12 November 2010

Menggabungkan Kemahiran Dan Pengetahuan

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim

Tungku (03 Nov 2010) - Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menggunakan pendekatan pelbagai bidang pengajaran dengan menggabungkan kemahiran dan pengetahuan yang disediakan oleh profesion-profesion berkaitan lainnya.


Pendekatan tersebut dibuat untuk menumpukan perhatian terhadap pelbagai kemahiran yang dihendaki dalam kejururawatan.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah bersabda demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Ke-9, di Dewan Canselor UBD, di sini.

Sesungguhnya, sabda Yang Teramat Mulia, penggabungan pelbagai pandangan dari profesion-profesion berkaitan lainnya telah diiktiraf sebagai cara ke hadapan di sekolah-sekolah perubatan dan sains kesihatan lainnya.

"Objektifnya ialah untuk menyediakan para jururawat masa depan kita dengan pendidikan antara-profesional, yang menggunakan pembelajaran bersama dengan para pelajar dari bidang kesihatan lainnya, demi untuk menyemai benih-benih bagi kerja berpasukan yang lebih baik dan kerjasama dengan profesional kesihatan lain, di masa depan kerjaya mereka," sabda YTM.

YTM menambah sabda, kaedah cara mengajar adalah penting untuk ditingkatkan secara berterusan bagi memenuhi tuntutan-tuntutan penjagaan kesihatan moden yang berkembang dengan pantas.

"Kita berharap para jururawat kita akan berusaha untuk terus belajar dan berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan sejawat mereka dan tidak terlepas pandang akan fakta bahawa kejururawatan bukan sekadar satu profesion mahir, tapi juga satu tanggungjawab, tempat bergantung nyawa dan kesejahteraan ahli masyarakat," sabda YTM.

YTM juga melahirkan keyakinan bahawa persidangan bertemakan 'Developing Clinical Academia and Clinical Leadership' akan menyediakan satu rangka yang kondusif untuk semua pihak berkepentingan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran mereka dan mencari jalan untuk bekerjasama dalam pendidikan dan penyelidikan penjagaan kesihatan.

YTM juga berharap melalui kerjasama yang lebih meluas akan dapat mencapai tujuan komuniti kejururawatan seluruh dunia, bagi memastikan kualiti penjagaan kepada semua dengan mengekalkan ketauliahan kejururawatan, kod etika, piawaian dan kecekapan-kecekapan, melalui pendidikan berterusan.

Berangkat sama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment