Oleh : Khartini Hamir
Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyeru para pemimpin sekolah supaya menjadi pemimpin yang berjaya dan mampu membuat perubahan (transformasi) secara signifikan dan inovatif selaras dengan fokus pencapaian yang dirancang agar perubahan yang dibuat itu berkesan dan berjaya.
Selain itu, Yang Berhormat juga turut berbangga dengan pencapaian para pemimpin dalam menghasilkan beberapa projek untuk sekolah masing-masing.
Berucap di Majlis Makan Malam sempena meraikan graduan pemimpin dari pelbagai peringkat sekolah kerajaan, yang telah berjaya menamatkan Program Kepimpinan Belia di bawah Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, di ibu negara menyatakan, dengan pengalaman kepimpinan itu nanti diharap para pemimpin dan rakan-rakan akan terus menghasilkan projek-projek yang boleh dikongsi sama dan diadaptasi oleh rakan-rakan lain untuk terus mengembangkan idea, pencapaian dan rangkaian antara satu sama lain termasuk pihak ibu bapa penuntut.
Dalam kumpulan ketiga ini, terdapat 14 orang pegawai dari Kementerian Pendidikan juga turut mengikuti program ini untuk menubuhkan seakan 'birokrasi' dalam pentadbiran.
Majlis yang dihadiri oleh 105 pemimpin itu bertujuan untuk memantau dan memberikan bantuan kepada para pemimpin dan pihak ibu bapa untuk menyelesaikan sebarang masalah di samping akan terus memastikan program ini berjalan lancar.
Sementara itu Ketua Program Kepimpinan Sekolah (SLP), Shamsiah Zuraini Kancanawati binti Haji Tajuddin menjelaskan sebanyak 35 buah sekolah telah menyertai program tersebut dan dibantu oleh pakar runding dari Amerika Syarikat melalui Program Tindakan Pembelajaran (Action Learning Programme - ALP).
Program bertujuan untuk memberikan pengetahuan kemahiran kepada semua pemimpin sekolah-sekolah kerajaan di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun akan datang, untuk memastikan para pemimpin akan dapat membuat perubahan secara dramatik dari segi pencapaian akademik ataupun bukan akademik.
Melalui Program ILIA itu akan dapat mengembangkan para pemimpin sekolah yang berwawasan dan efektif demi mencapai pengajaran yang cemerlang dan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu pembangunan pendidikan dan pembelajaran para pelajar.
Selain dari itu juga untuk mengembangkan kepimpinan pengetua sekolah di negara ini menjadi sara diri (self sufficient) dalam memenuhi keperluan latihan dan pembangunan para pengetua sebagai persiapan menghadapi cabaran masa depan pendidikan negara.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Pemimpin Sekolah Diseru Membuat Perubahan Selaras Dengan Focus Pencapaian Yang Dirancang
Posted by Neo Minda on 13:49
0 comments:
Post a Comment