Bandar Seri Begawan (08 November 2010) - Kasih sayang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang sangat prihatin terhadap kaum hawa yang kurang berkemampuan yang sentiasa mengalinga kebajikan dan kesejahteraan rakyat baginda adalah sangat-sangat dihargai. Memang sudah menjadi tugas dan peranan baginda untuk memastikan bahawa kaum wanita dan anak-anak khususnya anak-anak damit di negara ini adalah dalam keadaan terbela, terjamin dan terjaga kebajikan mereka.
Ini terbutki bila mana baginda berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda kepada 1,241 ibu tunggal yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Brunei dan 6,435 orang anak damit yang lahir di antara 7 Oktober 2009 hingga 7 Oktober 2010 yang telah berlangsung pada hari ini di seluruh negara.
Wakil PELITA BRUNEI sempat menemu bual beberapa orang ibu tunggal yang menjunjung kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Dayang Hajah Aminah binti Haji Bakar , 72, dari Kampung Salambigar, merakamkan ucapan ribuan terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Raja Isteri yang begitu prihatin terhadap kaum hawa yang kurang berkemampuan.
“Saya bersyukur kerana anugerah ini amat berharga bagi saya dan dapat juga menampung perbelajaan seharian. Walaupun saya menerima duit kebajikan sebanyak BND100 sebulan, tetapi bagi saya bantuan ini tidak begitu mencukupi kerana barang-barang sekarang lebih mahal dari dahulu. Semenjak suami saya meninggal 14 tahun dulu hidup begitu susah sekali kerana untuk menampung dan menyara anak lima orang begitu payah sekali, sekarang alhamdulillah, dengan adanya anugerah peribadi dari Kebawah Duli Raja Isteri dapatlah menampung kehidupan saya seharian,” jelasnya dengan nada gembira.
Pengiran Hajah Hidup binti Pengiran Haji Ahmad, 80, dari Kampung Sungai Bunga menjelaskan dengan adanya anugerah ini amatlah berharga bagi beliau untuk menyara keluarga beliau yang besar.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kebawah Duli Raja Isteri kerana memberikan kurnia peribadi baginda kepada kaum hawa yang kurang upaya. Dengan tulus ihklas saya mendoakan kesejahteraan baginda selalu dan panjang umur dan dilimpahi rezeki selalu”.
Beliau yang menerima bantuan sebanyak BND350 sebulan amat berharga dengan krunia berkenaan yang akan dapat menampung perbelajaan seharian walaupun kadang-kadang tidak mencukupi.
Pngai Ming, anak kepada seorang warga emas, Chua Sui Lam, 60, yang tidak berkesempatan hadir kerana kurang sihat dari Kampung Subok juga melahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri mengurniakan kurnia peribadi baginda kepada ibu beliau.
“Saya berdoa agar kesihatan dan kesejahteraan baginda akan terjaga sentiasa. Sejak ibu saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan, beliau amat sukar untuk mencari rezeki kerana masalah kaki yang sakit dengan adanya anugerah ini amat berharga bagi ibu saya untuk menampung keperluan seharian,” jelas beliau.
Bagi Dayang Tuah binti Metassan, 75, dari Kampung Setia ‘A’ berkata beliau amat bersyukur kerana menerima anugerah yang begitu bernilai sekali dalam hidupnya, dan beliau harap dengan adanya anugerah ini dapatlah membantu beliau untuk membeli barang keperluan seharian.
“Bagi saya, baginda adalah raja yang berjiwa rakyat dan saya bersyukur kerana mempunyai raja yang berhati mulia dan saya mendoakan agar baginda dipanjangkan umur dan dimurahi rezeki,” katanya.
-- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid)
Tuesday, 16 November 2010
Kebawah DYMM Raja Isteri Sentiasa Prihatin Kebajikan Kaum Hawa
Posted by Neo Minda on 14:21
0 comments:
Post a Comment