Wednesday, 17 November 2010

Keluarga, Merupakan Tunggak Pembangunan Bangsa Masyarakat Dan Negara

Twitter Facebook More

Kuala Lumpur, Malaysia (11 November 2010) - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menekankan mengenai kepentingan keluarga sejahtera, sebagai unit asas dalam masyarakat.


Keluarga katanya, adalah tunggak dalam pembangunan bangsa, menyumbangkan ketahanan dan kecekalan kepada masyarakat dan negara.

Keluarga yang kukuh, stabil dan cekal jelasnya adalah utama dalam mencapai sasaran Wawasan 2035 dan ke arah mencapai maksud tersebut, kerajaan telah meluluskan beberapa undang-undangan yang bermaksud untuk melindungi keluarga seperti perintah Kanak-kanak dan Orang Muda (2006) yang berkuat kuasa pada bulan Mac tahun ini, dan Undang-undang Keluarga Islam dan Perempuan Bersuami (1999).

Berucap demikian semasa Forum Peringkat Menteri Asia Timur Ke-4 Mengenai Keluarga di Kuala Lumpur, Yang Berhormat menjelaskan, pindaan terbaru yang berkaitan dengan perlindungan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga telah juga ditekankan.

Menurutnya, keluarga yang hidup dalam kemiskinan juga dianggap sebagai keluarga yang menghadapi risiko jika tidak menghadapi risiko tinggi. Oleh itu, jelasnya, perkara itu telah diberi perhatian oleh menteri-menteri dan ketua-ketua delegasi.

Di forum tersebut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga telah mengongsikan pendekatan yang diambil oleh Negara Brunei Darussalam dalam menangani isu berkenaan.

Yang Berhormat juga telah menyentuh mengenai penagihan zakat kepada fakir dan miskin serta 'Al-Gharimin'.

Seterusnya Yang Berhormat menjelaskan lebih dari BND90 juta telah diagihkan pada tahun lepas dan kerajaan juga baru-baru ini, telah memperkenalkan peraturan-peraturan untuk mengawal pemberian kad kredit.

Tindakan ini menurutnya adalah sebahagian dari strategi kerajaan untuk membasmi beban hutang dan juga kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.

Selain dari itu Yang Berhormat juga menyentuh mengenai Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP) yang berkuat kuasa awal tahun ini.

Yang Berhormat menambah, dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah juga melaksanakan penyelidikan mengenai kemiskinan.

Dari penyelidikan tersebut katanya, kita akan membuat definisi kemiskinan dalam konteks negara, menubuhkan pangkalan data mengenal orang-orang yang mungkin dianggap miskin, dan menggariskan strategi untuk menghapuskan kemiskinan.

Forum Peringkat Menteri Asia Timur Ke-4 Mengenai Keluarga telah membincangkan dan mengongsikan pengalaman dan amalan terbaik tentang program-program intervensi dan pemulihan dalam menangani isu-isu keluarga, terutama sekali dalam membina kecekalan di kalangan keluarga yang menghadapi risiko dan berisiko tinggi.

Forum tersebut telah dihadiri oleh 14 buah negara, iaitu Australia, Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Korea, Thailand, Timor-Leste dan Viet Nam. Delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah dan disertai oleh Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan, Jabatan Pembangunan Masyarakat. -- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment