Seria (11 November 2010) - Sekolah Ugama Penanjong, Tutong menyandang johan Bahagian Lelaki di Peraduan Tahlil dan Doa Arwah Persekolahan Ugama Peringkat Akhir Negara Ke-18 yang diadakan petang tadi di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC).
Naib johan disandang oleh Sekolah Arab Jerudong diikuti oleh Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al Islam di tempat ketiga sementara johan Bahagian Perempuan pula disandang oleh Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al Islam, naib johan, Sekolah Ugama Penanjong, Tutong dan tempat ketiga, Sekolah Persediaan Arab, Bandar Seri Begawan.
Johan Pembaca Doa Terbaik Bahagian Lelaki pula dimenangi oleh Awang Md. Amirul Faiz bin Rosali dari Sekolah Ugama Penanjong Tutong manakala Dayang Nurin Syukrena binti Haji Sulong dari Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan johan Bahagian Perempuan.
Dalam pada itu johan Imam Terbaik Bahagian Lelaki disandang oleh Awang Adi Hafizee bin Zanidi dari Sekolah Ugama Sungai Liang dan johan Bahagian Perempuan pula disandang oleh Dayang Siti Najwah Najihah binti Ghani dari Sekolah Ugama Penanjong, Tutong.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad yang juga Ketua Kampung Lumut I.
Sebanyak 16 pasukan berjaya masuk ke peringkat akhir negara iaitu lapan pasukan lelaki dan lapan pasukan perempuan yang mewakili 13 buah sekolah agama seluruh negara di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI). Setiap pasukan terdiri daripada lima orang peserta termasuk ketua dan pembaca doa.
Peraduan diadakan dua sesi, pagi dan petang. Di sebelah pagi sebanyak 12 pasukan bertanding manakala empat pasukan lagi bertanding di sebelah petang. Peserta-peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir ini merupakan johan di bawah peringkat pemilihan yang diadakan pada bulan Mei hingga Julai lalu.
Peserta-peserta yang menyertai peraduan tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah agama dalam Darjah Empat, Lima dan Enam serta Sekolah Persediaan Arab dan menengah Tahun 7 dan 8.
Pengerusi Majlis, Pegawai Pejabat Pengajian Islam Daerah Belait, Awang Haji Bagol bin Haji Tuah semasa menyampaikan ucapannya berkata seseorang yang pandai membaca tahlil dan doa arwah dengan baik serta hafal adalah satu kelebihan.
Peraduan bertujuan untuk memupuk dan menanam minat pelajar untuk mempraktikkan pelajaran tahlil dan doa arwah dan mengetengahkan kebolehan pelajar menerusi peraduan seumpama itu dan sebagai usaha ke arah mencapai matlamat persekolahan agama bagi memastikan pelajar pandai membaca tahlil dan doa arwah dengan baik di samping melatih pelajar berani tampil menyertai aktiviti tahlil dan doa arwah dalam masyarakat.
Tujuan tersebut bersesuaian dengan matlamat visi dan misi JPI iaitu untuk melahirkan pelajar yang kukuh akidahnya, berkepandaian dan berakhlak mulia melalui pendidikan Islam yang bersistem, berkualiti dan mantap bersandarkan Al-Qur'an dan As Sunnah. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj. Omaralli)
Wednesday, 17 November 2010
Pemenang Peraduan Peringkat Akhir Tahlil, Doa Arwah Terima Hadiah
Posted by Neo Minda on 21:14
0 comments:
Post a Comment