Wednesday, 17 November 2010

Memberikan Penjagaan Kesihatan Berkualiti Tinggi

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (10 November 2010) - Sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memperbaiki kesihatan penduduk dengan menumpukan kepada pemberian kualiti yang tinggi, mudah dicapai dan penjagaan kesihatan secara berterusan.


Bagaimanapun, secara realiti untuk mencapai matlamat tersebut akan memberi banyak cabaran khususnya dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan, perubahan corak penyakit, munculnya penyakit-penyakit baru, rawatan perubatan secara moden, penerokaan teknologi perubatan, menyediakan tenaga kerja yang terlatih yang mencukupi serta meningkatkan kehendak pengguna.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan menegaskan perkara itu semasa berucap pada Bengkel Kebangsaan Perubatan Berdasarkan Bukti (Evidence Based Medicine) dan Kejururawatan Kali Pertama anjuran Kementerian Kesihatan.

Bengkel tiga hari yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini bermula hari ini hingga 11 November bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Perubatan berdasarkan bukti jelas Yang Berhormat, menandakan paradigma baru dalam amalan perubatan yang mana penjagaan kesihatan masa kini meningkat berdasarkan identifikasi dan penyampaian amalan-amalan yang menyokong kepada penyelidikan saintifik yang kukuh.

Menurut Yang Berhormat, perubatan yang berdasarkan bukti menegaskan kepada pemeriksaan dari penyelidikan klinikal yang menekankan pengalaman klinikal secara bersistematik dan patho-fisiologi secara rasional dalam penentuan keputusan klinikal.

Dari itu, ujar Yang berhormat, ia memerlukan kepakaran-kepakaran baru para doktor, jururawat dan pekerja-pekerja kesihatan yang berkaitan termasuk pencarian perubatan secara efektif dan mengaplikasikan bagi menilai peraturan-peraturan klinikal.

Yang Berhormat juga menyentuh mengenai isu bagi meningkatkan kualiti secara berterusan berdasarkan kaedah perubatan yang mana kaedah ini dapat digunakan untuk membuat keputusan bagi kementerian berkenaan, laporan-laporan awam dan keselamatan pesakit yang mana konsep perubatan berdasarkan bukti secara meluas telah diterima di dalam kejururawatan dan penjagaan-penjagaan kesihatan yang berkaitan.

"Kepentingan dan keperluan perubatan berdasarkan bukti telah ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam lawatan baginda ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha baru-baru ini di mana Kementerian Kesihatan haruslah sentiasa memainkan peranan penting dalam menyediakan dan mempromosikan persekitaran yang mungkin," tambah Yang Berhormat.

Bengkel ini bertujuan untuk mempelajari tentang prinsip-prinsip dalam perubatan berdasarkan bukti dan kejururawatan di samping mendapatkan kemahiran-kemahiran yang perlu bagi mempraktikkannya dalam amalan-amalan klinikal.

Para peserta diharap akan dapat mempergunakan perkara-perkara yang dipelajari agar dapat memperbaiki lagi amalan-amalan perubatan dan kejururawatan dalam profesion masing-masing.

Seramai 40 peserta mengikuti bengkel tersebut yang terdiri dari doktor-doktor dan jururawat-jururawat dari hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan seluruh negara.

Beberapa orang pakar dari Republik Singapura dan Republik Filipina juga diundang sebagai fasilitator. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Aimi Sani)

0 comments:

Post a Comment