Friday, 12 November 2010

Para Jururawat Diseru Agar Inovatif Gunakan Pengetahuan

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim

Tungku (03 Nov 2010) - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah menyeru para jururawat agar inovatif dalam menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka terhadap klinikal masing-masing disebabkan perkembangan kemahiran yang diperlukan dalam bidang pengetahuan tersebut.


Yang Teramat Mulia juga menggesa mereka untuk terus menerajui bidang mereka sendiri dengan menjadi lebih bertanggungjawab bagi penilaian sendiri, selain membuat perbandingan dan melaksanakan amalan-amalan terbaik.

YTM menekankan perkara itu semasa bersabda merasmikan Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Ke-9 di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, di sini.

YTM seterusnya bersabda, penjagaan jururawat terhadap individu hendaklah menumpukan kepada mereka yang sihat dan sakit dari semua peringkat umur dan latar belakang dan mereka yang mempunyai keperluan fizikal, emosional, psikologikal malah intelektual, sosial dan rohani.

"Tuntutan ini memerlukan profesion itu untuk menggunakan kombinasi sains fizikal dan sosial, teori dan teknologi kejururawatan dalam menyediakan penjagaan terhadap para individu ini," sabda YTM.

YTM juga melahirkan kegembiraan kerana mengetahui bahawa amalan dan penyelidikan bidang penjagaan kesihatan yang dinamik ini berdasarkan bukan hanya pada kajian saintifik, tapi juga signifikan pada budaya kontemporari dan tradisional.

Kedua-dua budaya aliran utama dan minoriti, sabda YTM, kini diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk memberikan penjagaan kejururawatan yang lebih cekap dan sensitif dari segi budaya.

YTM juga percaya kejururawatan dengan objektif utamanya membantu yang sakit mahupun yang sihat dan dalam menyumbang kepada kesihatan dan pemulihan seseorang, menunjukkan satu profesion yang benar-benar melambangkan perasaan kasih sayang manusia yang mendalam.

Berangkat sama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment