Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (04 November 2010) - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) bersabda, mesyuarat 'post mortem' bagi acara-acara sukan yang disertai oleh negara sama ada di peringat serantau mahupun antarabangsa mesti diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya temasya tersebut.
Menurut Duli Yang Teramat Mulia, mesyuarat tersebut adalah penting dan menyarankan agar ia diadakan dua minggu atau tidak melebihi satu bulan selepas berakhirnya temasya sukan berkenaan.
DYTM bersabda demikian pada Mesyuarat 'Post Mortem' Bagi Temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) 2010 di Republik Singapura yang baru lalu dan Temasya Sukan Tertutup Asia Ke-3 2009 Ha Noi, berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Jelas sabda DYTM, dengan pelaksanaan 'post mortem' ini secara langsung dapat mengenal pasti atlet-atlet yang berpotensi di samping untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan para atlet untuk dapat diatasi bagi mencapai matlamat dan kejayaan yang diharapkan.
Semasa mesyuarat tersebut beberapa perkara juga dibangkitkan oleh DYTM khususnya yang menyentuh kelemahan-kelemahan para atlet negara yang menyertai beberapa kejohanan di luar negara yang memerlukan bimbingan serta latihan yang lebih bersistematik.
Selain itu DYTM juga bersabda, untuk mencapai kejayaan ini para atlet negara juga perlu mempunyai sifat seperti percaya kepada diri sendiri, dapat mengawal mental di samping mempunyai komitmen yang tinggi.
Di mesyuarat tersebut DYTM juga berpeluang mendengarkan laporan dari dua orang jurulatih khususnya jurulatih renang dan olahraga yang menyertai Temasya Sukan Olimpik Belia di Republik Singapura mengenai pencapaian, kelemahan serta cadangan yang perlu bagi memperbaiki atlet negara.
Pada mesyuarat tersebut DYTM juga bersabda mengingatkan mengenai persiapan penyertaan negara ke Sukan SEA yang bakal diadakan di Republik Indonesia tahun hadapan supaya ia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin termasuk bagi pemilihan atlet dan program latihan.
Bagi persiapan penghantaran kontinjen negara, DYTM menyarankan agar ia akan dapat dirancang dan dilaksanakan seawal mungkin khususnya dari seri pemilihan acara sukan dan atlet yang akan mewakili negara.
DYTM juga bersabda menyatakan, program latihan yang efektif sama ada dari segi ketahahan mental, fizikal mahupun kemahiran perlu dilaksanakan lebih awal sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pertandingan diadakan malah lebih panjang masa latihan dari itu adalah lebih baik.
Hadir sama di mesyuarat tersebut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair dan Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Mesyuarat 'Post Mortem' Mesti Diadakan Secepat Mungkin
Posted by Neo Minda on 14:18
0 comments:
Post a Comment