Sunday, 14 November 2010

Rumah Bantuan Di Kampung Lambak Kanan Diserahkan

Twitter Facebook More

Oleh : Saerah Haji Abd. Ghani

Bandar Seri Begawan (05 November 2010) - Keprihatinan dan pemedulian pihak-pihak yang berkaitan dan juga badan bukan kerajaan amat ketara dalam sama-sama berganding bahu memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan khususnya mereka yang daif yang benar-benar memerlukan tempat berteduh yang lebih selesa.


Hari ini, Pengiran Idris bin Pengiran Omar berasa amat bertuah kerana terpilih untuk menerima Replika Anak Kunci Rumah Baru di Majlis Penyerahan Kesiapan Bantuan Rumah Baru di Kampung Lambak Kanan, Mukim Berakas 'A'.

Majlis Penyampaian Replika Kunci rumah bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Awang Sa Bali bin Abas.

Rumah tersebut disumbangkan sepenuhnya oleh Pihak Swasta yang diketuai oleh Awang Stanley Lim Hock dan rakan-rakan manakala perbelanjaan bagi penyambungan api elektrik dihulurkan melalui 'Tabung Amal' Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Dengan menelan belanja lebih kurang BND29,000, rumah jenis banglo itu mempunyai dua buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah tandas, sebuah kamar mandi dan sebuah dapur.

Pengiran Idris bin Pengiran Omar, 51, bekerja sebagai buruh di ABDB sementara isterinya 37 tahun merupakan seorang surirumah sepenuh masa dan mempunyai seorang anak perempuan.

Dalam temubual, bersama PELITA BRUNEI, beliau melahirkan rasa syukur dan gembira di atas bantuan yang diberikan khususnya dari Pihak Swasta dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

"Saya merasa bersyukur dan amat berterima kasih atas bantuan dari Pegawai Jabatan Daerah Brunei dan Muara serta Pihak Swasta atas penyerahan bantuan yang menyumbangkan perabot keperluan rumah," jelas Pengiran Idris.

Turut hadir di majlis tersebut Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Jamain bin Momin, para penderma, Penghulu Mukim Berakas 'A', Ketua-ketua Kampung Mukim Berakas 'A', ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Lambak 'B', Mukim Berakas 'A', pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment