Oleh : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli
Lumut (05 November 2010) - Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Kolonel Haji Md. Yussof Haji Abd. Rahman berkata kejayaan dan pencapaian tentera darat, bukannya datang dengan mudah tetapi melalui pengorbanan oleh semua warga tentera darat kepada tanah air yang dicintai.
Kolonel Haji Md. Yussof menambah pengorbanan tersebut telah meningkatkan imej dan kemampuan tentera darat di peringkat yang tinggi.
"Penghargaan dan pengiktirafan tinggi yang telah kita terima membuktikan bahawa tahap kemampuan dan profesionalisme tentera darat setanding dengan angkatan tentera negara-negara lain," ujarnya.
Kolonel Haji Md. Yussof seterusnya berkata tentera darat kini berubah menjadi sebuah angkatan yang konvensional yang moden dan berkemampuan. Dalam tempoh 49 tahun, katanya TDDB telah menyaksikan beberapa perubahan pembangunan yang amat ketara di mana pada tahun ini Tentera Darat telah dapat menyaksikan dengan wujudnya unit 'Chemical Biological Radiological Explosive' (CBRE).
Kewujudan unit tersebut katanya menunjukkan peningkatan keupayaan Tentera Darat sebagai satu organisasi yang versatil, berdaya tahan dan berdaya juang.
Kolonel Haji Md. Yussof yang genap setahun memegang tampuk Pemerintah TDDB dan buat pertama kalinya menyampaikan perutusan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TDDB Ke-49 hari ini di Perkhemahan Lumut Batalion Ketiga.
Kolonel Haji Md. Yussof seterusnya mengingatkan seluruh warga tentera darat supaya sentiasa bersiapsiaga dalam menempuhi cabaran ancaman yang mendatang.
"Cabaran pada masa lalu telah banyak mengajarkan kita supaya sentiasa bersiap sedia dalam menangani operasi ketenteraan konvensional dan insurgensi selain operasi 'Operation Other Than War' (OOTW) sepertimana bencana alam, banjir dan tanah runtuh (HADR). Kejadian-kejadian seumpama ini telah banyak menguji tahap professionalisme seluruh anggota Tentera Darat dan ianya juga menjadi sukat-sukat keupayaan dan penilai kepercayaan orang awam sebenar kepada Tentera Darat," terang beliau.
Beliau menambah, tentera darat amat berbangga dengan penglibatan anggotanya di arena antarabangsa dan serantau termasuk beberapa anggotanya telah dan sedang menyumbangkan bakti di dalam Misi Tim Pemantau Antarabangsa di Kepulauan Mindanao, Republik Filipina (IMT) dan UNIFIL di Lebanon.
Beliau penuh percaya penglibatan anggota-anggota berkenaan didalam misi luar negara akan dapat diteruskan dan menjadi kebanggaan bersama.
Beliau seterusnya menekankan bahawa setiap latihan ketenteraan dan pendidikan profesional hendaklah dilaksanakan dengan berkualiti, bersistematik dan realistik bagi mengekalkan dan meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisma individu/organisasi seterusnya bagi memastikan kesiapsiagaan operasi (operational readiness) TDDB yang tinggi dan kejayaan misi TDDB.
Manakala dari segi keagamaan beliau menekankan agar setiap unit hendaklah menyusun dan merancang program ulangkaji bacaan Kitab Suci Al-Qur'an dan Muqaddam bagi setiap lapisan anggota dan dilaratkan kepada keluarga anggota.
Beliau juga menekankan dari segi perisikan dan keselamatan agar akan dapatkan melaksanakan pengumpulan data perisikan dan penganalisaan perisikan (intelligence database) dan juga meningkatkan kepekaan keselamatan dokumen, keselamatan anggota dan keselamatan teknologi maklumat serta melaksanakan pemeriksaan ketempat-ketempat yang sensitif di setiap masa.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua lapisan warga tentera darat agar menerapkan budaya memelihara akan mempertingkatkan keupayaan, keberkesanan dan daya tahan tentera.
Antara yang hadir Timbalan Pemerintah, Kolonel Pengiran Zulkefli bin Pengiran Haji Ismail, pegawai-pegawai kanan dan warga TDDB.
Sambutan Ulang Tahun TDDB dimulakan dengan memeriksa perbarisan terdiri daripada 2,349 anggota tentera darat oleh Pemerintah TDDB yang diadakan di Padang Kawad Perkhemahan tersebut.
Sejurus selepas itu diadakan upacara memotong kek sempena sambutan berkenaan dan Majlis Ramah Mesra bersama Pemerintah TDDB dengan pegawai-pegawai pangkat rendah terdiri daripada koperal, lans koperal dan 'private' serta ramah mesra bersama pegawai-pegawai pangkat tinggi terdiri daripada waren, staf sarjan dan sarjan yang diadakan secara berasingan.
Majlis diteruskan dengan jamuan tengah hari yang dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan, Pemangku Pegawai Daerah Belait, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.
TDDB mula ditubuhkan pada 31 Mei 1961. Selepas seramai 60 orang anak tempatan yang berjaya menamatkan latihan rekrut pengambilan pertama di Port Dickson, Persekutuan Malaya pada 4 November 1961, detik itu bermulalah era keperwiraan anak watan moden Brunei. Sebagai memperingati tarikh bersejarah itu, TDDB meraikan ulang tahun penubuhannya setiap 4 November.
Selaras dengan perkembangan semasa, pada 17 September 1991 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan bagi penyusunan semula struktur ABDB kepada lima unit besar iaitu Angkatan TDDB, Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei, Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei, Angkatan Tentera Perkhidmatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pusat Latihan ABDB.
Mulai 1 Januari 2005, unit-unit tersebut telah ditukar nama kepada TDDB, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Perkhidmatan Bantu ABDB dan Insititut Latihan ABDB.
Hingga ke hari ini, anggota-anggota TDDB bertugas didalam dan luar negara, sama ada yang beroperasi dan yang berkursus, bertugas di Istana Nurul Iman, Perkhemahan Bangar, Pulau Baru-baru, Platun Siap Sedia (CIMIC), Operasi Rondaan, Tugas Pemantau Antarabangsa IMT dan UNIFIL.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
TDDB Raikan Ulang Tahun Ke-49
Posted by Neo Minda on 16:49
0 comments:
Post a Comment